Terkadang aku termanggu memikirkan adakah aku yang seterusnya? Ketentuan Illahi tiada siapa yang mengetahui. Kehilangan satu demi satu insan yang dikenali. Aku kadang kaku memandang langit penciptaKu yang maha indah tersergam. Kadang aku leka memerhatikan insan lain yang menanggung derita. Bulan lepas kami diuji dengan suami aku yang secara tiba-tiba sakit dan segalanya terjadi secara tiba-tiba tanpa ada sebarang petanda yang dia akan diserang penyakit itu.
Begini, sedang dia leka menyiapkan kerjanya yang bagi aku agak berat sebab sebelum ini kerjanya adalah di dapur sahaja. Berbeza dengan kehidupan kami kini, dia terpaksa meninggalkan kerjaya idaman nya untuk bersama aku di sini. Jadi setelah hampir setahun tiada kerja yang tetap, dia nekad untuk menjadi seorang pemandu lori.
Kadang aku rasa bersalah, kadang aku rasa pesalah. Aku menjadikan dia sebegini. Selalu aku bisik dalam hati, mungkin ini adalah ujian bagi kami. Redha. Aku dan dia pasti ada hikmah disebalik dugaan ini. Rutin kerja sebagai pemandu lori bukan lah satu tugas yang mudah. Mungkin nampak mudah dari pandangan mata kasar yang lain, tapi bukan aku. Aku lihat sendiri dia mengangkat bakul roti setibanya di lokasi yang sepatutnya, lalu mengira jumlahnya sebelum disahkan oleh tuan empunya kedai. Seterusnya dia perlu mengangkat bakul-bakul roti yang sarat dengan muatan ke rak-rak yang sediada. Sehari hampir 20 kedai yang perlu dia lawati, dan tugasan membongkok dan pemanduan yang lama itu menjadikan pinggang dia bengkak.
Petang hari kejadian, dia tiba-tiba rebah dan meringkuk menahan kesakitan. Bergegas bawa ke klinik kesihatan berdekatan dan di tahan di wad kecemasan untuk rawatan susulan. Saringan pertama adalah air kencing. Sample di ambil dan didapati terdapat cairan darah. Kemudian doktor berikan suntikan bagi meredakan kesakitan yang maha kuat (anggaran tahap kesakitan adalah 9/10 walaupun telah diberikan ubat). Setelah 15 minit berlalu, keadaan masih sama. Doktor terpaksa memberikan dos yang lebih tinggi (morfin). Lena dia dibuai mimpi dan barulah aku bernafas lega.
Perkara ini berlarutan selama seminggu. Setibanya hari esok. perkara yang sama berulang, kesakitan semakin rancak datang dan pergi. X-ray dibuat, tiada tanda wujudnya batu dan air kencing semakin cerah. Serba salah dan serba jadi semakin sensitif. Nak dipegang dan diusap pun ditolak. Sendu melayan perasaan. Aku faham, mungkin dia kurang selesa dan sakit. Hari keempat aku terpaksa pujuk untuk ke wad kecemasan pesakit luar di hospital berdekatan. Doktor scan di bahagian pinggang dan abdomen. Buah pinggang didapati bengkak dan tiada tanda terdapatnya batu. Alhamdulillah. Aku lega dengan penerangan doktor yang comel berkacamata bergaya sederhana.
Cuma, aku tak pasti sekiranya berlaku kehilangan itu adakah aku mampu bersedia? Bersedia untuk menghadapinya. Bersedia untuk meratapinya. Bersedia untuk bersendiri tanpa dia sahabat dan kekasih abadiku. Aku belum cukup kekuatan untuk berhadapan dengan situasi itu. Kepulangan yang tidak dirancang adalah suatu jawapan kepada kewujudan. Setiap yang wujud pasti akan kembali sang penciptaNya. Aku perlu belajar untuk sedia dan redha.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan